USIM Open Science

| Prof Dr Rozhan Mohammed Idrus

Felow Penyelidik di Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Kepakaran Prof. Rozhan mendapat Pengiktirafan Antarabangsa
Prof Dr Rozhan Mohammed Idrus, Felow Penyelidik di Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), merupakan Profesor Pendidikan Jarak Jauh yang pertama di Malaysia yang menerima penganugerahan Award For Excellence in e-learning dan juga 50 Fabulous Edutech Leaders Award yang berlangsung pada 4 Julai 2019 di Taj Lands End, Mumbai, India. Terlebih dahulu, beliau telah menerima Award for Best Professor in Immersive Technology Studies pada 24 April 2019 di Kuala Lumpur di dalam The 6th Golden Globe Tiger Awards – Education Leadership.
Prof. Dr Rozhan, 60, menerima anugerah tersebut atas pencapaiannya yang menyerlah di bidang Pendidikan Jarak Jauh dan Pembelajaran Terbuka (Open & Distance Learning) sebagai seorang pakar rujuk serta penyelidikan dan penghasilan karya penerbitan di peringkat antarabangsa. Antara agensi antarabangsa yang pernah menerima khidmat pakar beliau termasuk Commonwealth of Learning (COL), Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), SEAMEO-RECSAM serta UNESCO.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Ilmu Sains Fizik dari University of Salford, United Kingdom mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun sebagai seorang pakar teknoologi e-pembelajaran, penganalisis, perunding, pengendali dan pemudahcara bengkel dan telah membentangkan 52 ucaptama di 18 buah negara serta menerbitkan 192 penerbitan dalam jurnal antarabagsa yang berindeks, buku dan bab di dalam buku panduan. Beliau juga pernah menjadi Ketua Pengarang Penerbitan Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia (2001-2016).
Antara pencapaian beliau adalah menerajui portal elektronik yang dibina sendiri oleh institusi (2003) dan mempelopori penggunaan sms dalam pengajaran ilmu sains fizik (2008), meraih anugerah dalam pembelajaran mudah alih semasa Sidang Kemuncak Pendidikan Dunia (2011), e-INDIA Awards (2010) dan Pengiktirafan Inisiatif Pembelajaran Mudah Alih & Pengajian Edutainment Panel (APACMLEAP) Asia Pasifik (2009), Anugerah Pingat Emas dalam Inovasi dan Penciptaan dalam Pertandingan Pendidikan tahun 2016 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Malaysia dan Anugerah Pingat Emas di 3rd World Invention Innovation Contest 2017 di Seoul, Korea.
Beliau juga pernah menyandang gelaran Higher Education e-Learning Maestro Award di 2nd International University Carnival on eLearning (2017). Prof Rozhan juga telah memperkenalkan istilah technogogy kepada dunia pendidikan pada tahun 2005, suatu konsep yang menggabungkan jalinan unsur antara pelajar, bahan pengajaran, pedagogi dan teknologi. Konsep tersebut telah diaplikasi di dalam kerangka pembinaan bahan pengajaran berteraskan teknologi.
Menurut Prof Rozhan perkembangan positif penggunaan e-learning terserlah melalui pelaksanaan Massive Open Online Course (MOOC) dan Open Educational Resources (OER) dari institusi tempatan dan antarabangsa yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menerokai bahan pembelajaran seperti kuliah dan sumber pendidikan serta berinteraksi dengan pelajar lain secara global.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga telah berjaya membangunkan MOOC untuk kursus-kursus terpilih yang ditawarkan secara terbuka. USIM juga merupakan peserta secara aktif di dalam pendidikan elektronik apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang tersenarai di dalam Apple iTunesU pada tahun 2015. Kaedah-kaedah siaran rangkaian elektronik sedemikian telah memudahkan warga pendidik berkongsi kursus serta bahan pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan Naqli dan Aqli yang menjadi tunggak falsafah ilmu yang didokong oleh USIM.
Shopping Basket